Anjakan Paradigma Pembangunan FELDA: Menyeimbangkan Perlindungan Sosial dan Produktiviti dalam Mendepani Sindrom Kebergantungan
Abstract
Kajian ini meneliti impak sistem bantuan berstruktur terhadap komuniti peneroka di FELDA Umas, Tawau, khususnya dalam mencorakkan usaha berdikari dan motivasi produktiviti pertanian. Walaupun bantuan diperkenalkan sebagai mekanisme perlindungan sosial untuk menstabilkan pendapatan peneroka daripada ketidaktentuan harga komoditi global, timbul kebimbangan akademik mengenai potensi kewujudan dependency syndrome yang bersifat intangible dalam kehidupan seharian mereka. Berlandaskan perspektif pembangunan kritis, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif yang melibatkan Perbincangan Kumpulan Fokus (PKF) dan Temu Bual Mendalam (TM) terhadap 31 orang informan yang terdiri daripada peneroka serta pihak pengurusan, selain penelitian ke atas dokumen dasar dan laporan tahunan FELDA. Dapatan kajian menunjukkan bahawa sistem bantuan sedia ada berfungsi secara signifikan dalam mengurangkan tekanan kewangan dan mencegah kitaran kemiskinan tegar. Namun begitu, analisis mendapati wujud kecenderungan kebergantungan yang boleh merencatkan inisiatif peribadi sekiranya elemen prestasi tidak diintegrasikan dalam kerangka pemberian bantuan. Kajian ini berhujah bahawa bantuan tanpa syarat berisiko melunturkan semangat berdikari, sekali gus menghalang pembangunan modal insan yang progresif. Sehubungan dengan itu, kajian mencadangkan anjakan paradigma ke arah penstrukturan sistem bantuan yang lebih bersyarat dan berorientasikan hasil. Model baharu ini penting bagi mengimbangi keperluan perlindungan sosial dengan tuntutan produktiviti, demi menjamin kelestarian ekonomi jangka panjang serta memperkukuh martabat komuniti peneroka sebagai penggerak utama sektor pertanian negara yang berdaya saing. Penemuan ini memberikan implikasi dasar yang penting bagi pihak pengurusan FELDA dalam merangka intervensi yang lebih efektif dan mampan pada masa hadapan.















